MENINGKATKAN MINAT PELAJAR DALAM SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM BAHAGIAN IBADAH MELALUI KAEDAH SIMULASI
AISYATULASYIQAH BT MOHAMED P48594
1) PERNYATAAN MASALAH
Masalah yang dihadapi oleh sesetengah pelajar adalah kaedah yang digunakan oleh guru tidak berkesan untuk mempelajari Pendidikan Islam. Dalam memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang berkesan, kaedah yang sesuai perlu digunakan untuk memahami tajuk khususnya dalam matapelajaran Pendidikan Islam. Kelemahan yang berlaku ialah guru hanya menekankan kaedah pembelajaran yang berpusatkan guru. Ini banyak berlaku kerana matapelajaran Pendidikan Islam kebanyakannya berbentuk ilmiah. Peranan guru amat penting dalam perancangan pengajaran dan sentiasa peka terhadap kaedah baru dalam pengajaran melalui kajian dan membudayakan kreativiti semasa mengajar. Ini adalah untuk memastikan matlamat dan objektif proses P&P tercapai.
2) METODOLOGI KAJIAN
Metodologi Kajian ini dijalankan berdasarkan kepada Model Kemmis & McTaggart (1983). Kajian ini menggunakan kaedah Simulasi sebagai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran. Guru menerangkan dengan menunjukkan cara-cara menyucikan najis iaitu najis mukhaffah, najis mutawassitah dan najis mughallazah. Selepas simulasi tersebut dijalankan, guru memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan simulasi tersebut. Sebagai aktiviti Pengayaan dan Pengukuhan, guru memberikan kuiz dalam bentuk soalan lisan. Kuiz-kuiz ini dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan dan guru memilih secara rawak pelajar-pelajar tersebut. Pelajar yang dipilih akan mencabut soalan daripada kotak kuiz dan menjawabnya. Kuiz yang dicabut akan meminta pelajar untuk menjalankan simulasi yang telah dijalankan oleh guru.
Setting Kajian Kajian ini dijalankan di dalam dan luar sesi pembelajaran. Tempoh kajian yang dilaksanakan adalah selama dua minggu. Setiap minggu guru akan mengadakan dua sesi perjumpaan dengan pelajar. Setiap sesi perjumpaan ini mengambil masa selama satu jam.
Sampel Kajian Sampel kajian yang digunakan ialah pelajar dengan markah pencapaian yang tinggi dalam matapelajaran Pendidikan Islam seramai dua puluh sembilan orang dari Tingkatan Satu Marikh.
3) PENGUMPULAN DAN PENGANALISAN KAJIAN DATA
Pengumpulan Data Pengumpulan data dijalankan dalam tiga bentuk iaitu:- a) Pemerhatian – dijalankan oleh guru semasa aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran berlangsung. b) Temubual – dialog antara pelajar dengan guru dalam aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran dijalankan. c) Kualitatif – diperolehi dalam dua bentuk iaitu kaedah soal jawab dan kuiz lisan.
Penganalisaan Data Penganalisaan data dijalankan dalam tiga bentuk iaitu:- a) Pemerhatian Analisis data dijalankan semasa kitaran 1 dan kitaran 2 berlangsung. b) Temubual Analisis data dijalankan semasa kitaran 1 dan kitaran 2 berlangsung. c) Kualitatif Sesi soal jawab secara lisan di dalam kelas dicatat. Data yang diperolehi semasa soal jawab dianalisis secara manual.
4) IMPLIKASI KAJIAN
Hasil kajian menunjukkan pelajar melihat keadah simulasi ini sangat menyeronokkan dan menarik minat mereka untuk lebih menguasai matapelajaran Pendidikan Islam. Pelajar juga mudah memahami isi pengajaran kerana pengajaran yang berasaskan kaedah simulasi membantu pelajar mengingat dengan berkesan kerana proses pemikiran secara visual ditekankan dalam kajian ini. Kaedah simulasi seakan sama dengan kaedah gambar tetapi kaedah ini lebih bersesuaian kerana pelajar itu sendiri menjalankan simulasi dan mendapat pengetahuan melalui keadah ini.
5) APA YANG DIPELAJARI DARI KAJIAN TERSEBUT.
Kajian ini menunjukkan antara salah satu kaedah yang berkesan dalam proses P&P. Guru menetapkan masa perjumpaan dengan pelajar dan merancang proses pembelajaran pelajar. Guru membina kuiz untuk aktiviti pengayaan dan meminta pelajar untuk membuat simulasi berdasarkan soalan kuiz. Secara keseluruhannya, kaedah ini amat mudah dijalankan dalam setiap pengajaran walaupun berbentuk teori ataupun amali. Ia bergantung sejauh mana guru merancang pengajaran yang bersesuaian dengan matapelajaran yang di ajar.
6) CADANGAN DAN PENAMBAHBAIKAN.
Walaubagaimanapun, keadah pengajaran yang mengunakan kaedah simulasi ini perlu diperbaiki lagi dengan pembahagian kumpulan. Guru perlu menerapkan proses P&P yang berasaskan pelajar iaitu pelajar yang akan mengawal proses P&P manakala guru berperanan sebagai fasilitator di dalam kelas. Pembahagian kumpulan diperkenalkan untuk memudahkan guru mengawal keadaan kelas dan ini juga membantu guru semasa membuat penilaian dalam skop yang lebih kecil. Sebaik-baiknya kaedah simulasi ini dijalankan dalam kumpulan kecil antara 4 atau 5 buah kumpulan. Setiap kumpulan diberikan peralatan sekiranya ada untuk digunapakai sepanjang simulasi ini dijalankan. Kreativiti guru sendiri memainkan peranan penting untuk mengasah pemikiran pelajar untuk menyatakan pendapat, idea atau persoalan semasa proses P&P.
TUGASAN KELAS : 10 SEBAB MENGAPA GURU PERLU MEMBUAT KAJIAN TINDAKAN
Friday, October 23, 2009
1. Melahirkan guru yang berilmu dan berwawasan berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
2. Menemui dan memperbaharui kaedah pengajaran sedia ada dengan teknik yang lebih berkesan dalam bilik darjah.
3. Mencipta langkah-langkah yang proaktif untuk memastikan pencapaian akademik dan kokurikulum di sekolah dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa secara berterusan.
4. Meluaskan pengetahuan tentang kajian yang telah dilakukan dan berusaha memperbaiki mutu dan kualiti kajian tersebut untuk diaplikasikan di sekolah.
5. Memastikan kajian yang dilaksanakan dapat dikongsi bersama untuk mendapatkan langkah penyelesaian yang terbaik.
6. Melahirkan guru yang prihatin dan sentiasa memperbaiki kekurangan dan masalah yang berlaku di sekolah.
7. Kajian yang dijalankan akan menjadi panduan kepada guru atau penyelidik lain untuk meneruskan kajian tersebut.
8. Mencari kaedah pembelajaran yang menarik dalam bilik darjah untuk meningkatkan prestasi dan suasana dalam proses P&P.
9. Menjana pemikiran guru dalam memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta berdasarkan kajian yang telah dijalankan sebelum ini.
10. Mencipta kaedah pengajaran yang baru dan berkesan dalam bilik darjah.
Name: CHRISTY JR TAN Home: Bangi, Selangor, Malaysia About Me: DPLI Student Majoring in Hearing Disabilities (Special Needs) Universiti Kebangsaan Malaysia. See my complete profile